PDRM tubuh USJKT kendali kes kematian dalam tahanan

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bagi mengendalikan dan menyiasat kes kematian dalam tahanan polis pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan USJKT akan memulakan operasinya 1 Januari ini di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), seterusnya membantu kerajaan meningkatkan integriti dan imej PDRM.

“Kita sering menerima rungutan tentang kematian dalam tahanan dan lokap, oleh itu kita merancang penambahbaikan dalam pasukan polis termasuk menangani kes jenayah seksual, cedera dan kematian dalam tahanan.

“Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM saling berbincang serta memutuskan untuk mewujudkan satu lagi unit iaitu USJKT dibawah JIPS,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hamzah berkata, USJKT akan diketuai seorang Superintendan serta dianggotai 13 anggota dan seorang pegawai awam.

Katanya, ia akan memberi tumpuan kepada siasatan yang telus melibattkan unsur jenayah, mengenalpasti suspek, kecuaian, kelalaian anggota serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berdasarkan arahan dikeluarkan.

Beliau juga menegaskan insiden dan kes kematian dalam tahanan bukan disebabkan isu perkauman seperti didakwa sesetengah pihak dan jumlah kematian tertinggi adalah membabitkan bangsa Melayu.

“Saya difahamkan 176 kes kematian dilaporkan iaitu 82 daripadanya kematian dalam lokap, 94 lagi dalam tahanan sejak 2015 hingga 2021,” katanya.

“Ia (kematian) tiada kena mengena dengan jantina serta perkauman, sebaliknya perkara yang tak boleh dielakkan atas pelbagai faktor antaranya sakit dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, KDN dan PDRM sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan, untuk melantik doktor panel bagi membolehkan mana-mana individu yang ditahan polis dirujuk segera ke klinik swasta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here