Jual ayam kampung RM16 seekor, peniaga mohon jangan dengki

0
1

SEORANG peniaga, Baharuddin Mohamed, 45, yang tular meniaga ayam kampung segar berharga RM16 seekor mengakui tidak selesa apabila kisahnya kerap muncul di dada akhbar.

Menurut Baharuddin, dia hanya insan biasa yang pernah melewati saat kejatuhan seperti orang lain.

“Saya orang kampung. Saya hanya insan biasa. Saya pernah jatuh dan gagal dalam percubaan-percubaan saya yang lepas. Saya berhenti kerja dan jadi petani.

“Hari ini muka saya masuk surat khabar lagi. Saya rasa malu. Hati saya berdebar-debar. Ini semua bukan yang saya nak. Saya menulis bukan kerna nama. Saya hanya seorang petani kampung yang bertarung nasib.

“Reban pun guna kanopi terpakai sahaja. Bukan banyak bela, belakang rumah sahaja. Untung pun seringgit dua. Tak ada lah kaya sampai campak-campak duit macam dalam TikTok tu,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

Baharuddin berkata, sejak namanya menjadi tular dia ada menerima mesej di aplikasi WhatsApp yang menegur cara penulisannya di laman itu.

Katanya, individu tersebut mempertikaikan beberapa perkara kononnya dia sengaja mencari glamor dengan menularkan jualan ayam RM16 sebelum ini.

“Jawapannya tidak. Itu bukan cara saya. Tak payah bang tak payah sakit hati dan dengki dengan kami. Kami hanya penternak kecil-kecilan. Orang pun tak kenal. Tolak dengan jari pun boleh tumbang.

“Tapi ingat selagi tak mati kami akan bangkit. Bangkit dan bangun membela nasib orang kecil, tak berpangkat, miskin dan orang kampung,” ujarnya.

Kisah Baharuddin mendapat perhatian selepas menjual ayam kampung segar di Kampung Sungai Belukang, Jalan Batu Pahat-Muar dengan harga murah, jauh berbeza dengan harga di pasaran.

Baharuddin membuka gerai di hadapan rumahnya dan menjual ayam kampung segar pada harga RM16 seekor dan menawarkan promosi untuk tiga ekor pada harga RM50 sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here