SKUAD Harimau Malaya berjaya menumpaskan pasukan Kemboja 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, hari ini.
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe bermula dengan baik apabila mendahului pada separuh masa pertama melalui sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-23.
Penalti itu diberikan kepada pasukan negara selepas Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kedudukan kekal 1-0 selepas babak pertama berakhir walaupun pasukan Kemboja Cuba mengasak untuk mencari gol penyamaan.
Bersambung babak kedua, Akhyar Rashid melebarkan jaringan Harimau Malaya pada minit ke-61.
Derita Kemboja ditambah Kogileswaran Raj pada minit ke-78 untuk gol ketiga perlawanan.
Pasukan Kemboja bagaimanapun tidak berputus ada untuk mencari gol dan berjaya mendapatkannya pada minit terakhir permainan.
Gol sagu hati itu diperoleh melalui sepakan penalti disempurnakan Sath Rosib pada minit ke-90 selepas penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi dilihat melakukan kekasaran kepada pemain lawan.
Skuad negara dijadual bertemu Laos di stadium sama pada jam 5.30 petang 9 Disember ini.
Malaysia yang juga naib juara Piala AFF 2018 berada dalam Kumpulan B kali ini bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.
Kumpulan A pula disertai Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan Timor Leste. – Malaysiapost

