SEORANG gadis berusia 19 tahun buntu memikirkan masa depannya dan keluarga yang hilang sumber pendapatan setelah diberhentikan kerja sejak dua bulan lalu.
Anak tunggal keluarga berkenaan, Zarith Sofea Mohd, berkata bekas majikannya terpaksa mengambil keputusan itu kerana dia kerap mengambil cuti untuk menjaga ibunya yang juga bekas pesakit Covid-19 tahap lima sejak 15 September lalu.
“Selepas tiga hari berada di hospital, kesihatan emak merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 18 September sehingga hampir ‘ditidurkan’ kerana paras oksigen yang semakin rendah.
“Waktu itu, ayah sudah dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh, sejak 10 November manakala saya hanya kuarantin kendiri di rumah kerana kontak rapat keluarga” katanya di kediamannya di Taman Merdeka Jaya, Melaka hari ini.
Katanya, dia turut diarahkan menjalani kuarantin di PKRC MITC setelah disahkan positif Covid-19 pada 18 November.
Zarith Sofea yang sebelum ini berkerja sebagai kerani, berkata walaupun telah dibenarkan keluar daripada ICU pada 1 November lalu namun ibunya masih memerlukan rawatan susulan kerana turut mengidap sakit kencing manis dan darah tinggi.
Keperitan yang ditanggung Zarith Sofea mendapat perhatian Ashwad Abd Rahim, 29, yang bergerak di bawah Usahawan Belia Melaka untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri itu.
“Usaha ini adalah inisiatif saya dan tiga rakan lain yang terpanggil untuk membantu kira-kira 150 keluarga memerlukan sekitar Melaka membabitkan keseluruhan bantuan bernilai RM20,000 berupa kit makanan keperluan asas.
“Kita juga akan melihat apakah bentuk bantuan susulan yang boleh diberikan mengikut kesesuaian dan keperluan keluarga yang disantuni yang mana ianya sekurang-kurangnya membantu dapat meringankan usaha kerajaan membantu mereka,” katanya.
Menurut Ashwad, Usahwan Belia Melaka juga akan menjadi penghubung antara golongan memerlukan dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan bantuan sewajarnya. – Malaysiapost


