Ambil pelakon kanak-kanak untuk siri ‘gay’ menyalahi undang-undang

0
1

PENGLIBATAN seorang pelakon tempatan berusia 17 tahun dalam siri berunsurkan homoseksual atau gay bertajuk ‘Stay Away From Me’ adalah menyalahi undang-undang kerana pelakon itu masih di bawah umur.

Perkara itu didedahkan dalam perkongsian Pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu atau dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, mengikut undang-undang di negara ini Danish Iskandar iaitu pelakon terbabit masih kategori kanak-kanak, mengikut definisi Seksyen 2, Akta Kanak-kanak.

“Jadi, perbuatan pengarah, penerbit dan krew penerbitan jelas-jelas melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (berhubungan pornografi kanak-kanak dan pengantunan seksual).

“Apa yang berlaku kepada beliau tu jelas-jelas melanggar akta kanak-kanak sedia ada; Danish diminta melakukan aksi intim dan babak romantik sesama jantina,” katanya dalam hantaran itu.

Mengulas lanjut, beliau berharap perkara tersebut mendapat perhatian pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat; dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Terdahulu, media melaporkan Danish menerima banyak pesanan daripada netizen yang terkejut apabila dia beraksi dalam siri yang mempromosikan gay.

Netizen turut mempersoalkan status seksualitinya apabila memilih untuk berlakon dalam siri yang bakal ditayangkan pada 5 Disember ini di aplikasi temu janji gay dan penstriman video.

Namun pelakon itu menegaskan yang dia tidak tahu menahu mengenai jalan cerita siri itu kerana penjelasan yang diberikan ketika pertama kali bermesyuarat dengan pihak produksi adalah kurang jelas.

Katanya, apa yang dilakukannya dalam siri tersebut adalah lakonan semata-mata dan berkata dia adalah lelaki sejati.

Berikutan itu, Danish memilih untuk tidak mempromosikan siri tersebut walaupun pihak produksi menjanjikan bayaran lain jika berbuat demikian.

Siri itu mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan apabila video promosi mula tular di aplikasi TikTok sejak kelmarin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here