Sebuah lagi sekolah di Perak rekod kes positif Covid-19

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

SEBUAH sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk, Perak dilaporkan merekodkan kes positif Covid-19 membabitkan pelajar.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak semalam, seramai 12 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan kesemua mereka merupakan kes bagi kluster baharu iaitu kluster Batu 20 Selekoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga kini terdapat dua sekolah berasrama di negeri ini yang berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pelajar yang disahkan positif itu telah diasingkan dan dikuarantin di asrama masing-masing.

“Semalam juga saya dilaporkan memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah terutama bagi sekolah-sekolah berasrama penuh. Tetapi mereka telah diasingkan dan tidak dibenarkan keluar dari tempat kuarantin.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sekolah di negeri ini yang ditutup disebabkan jangkitan Covid-19. Kita berharap mereka akan selesai dikuarantinkan di asrama masing-masing sebelum dibenarkan pulang bercuti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Yang Ketiga Perak Darul Ridzuan di Hotel Casuarina@Meru, hari ini.

Khamis lalu, seramai enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif Covid-19.

Sementara itu, berhubung kes varian Omicron yang dikesan di negeri itu, Saarani berkata, satu Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Negeri Perak diadakan secara maya pada malam tadi bagi mendapatkan laporan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, selepas mendengar penjelasan kronologi kes daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming, kerajaan negeri berpuas hati dan menganggap tidak ada isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Kita dimaklumkan bahawa sehingga semalam (Jumaat), setelah dibuat kajian semula, kita bernasib baik kerana pelajar yang dijangkiti varian itu mematuhi SOP. Dia balik dari Afrika selepas cuti dan mematuhi SOP kuarantin 10 hari yang ditetapkan.

“Dalam tempoh kuarantin itu, dia dikesan mempunyai varian Omicron. Semua kontak rapat kes juga sudah disahkan negatif, jadi perkara itu bukan isu,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia melibatkan pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan.

Khairy berkata, individu tersebut merupakan pelajar sebuah universiti swasta berusia 19 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here