Polis kesan pemandu treler punca 14 tiang elektrik tumbang

0
1

POLIS mengesan seorang pemandu treler dipercayai menyebabkan 14 batang tiang elektrik tumbang berserta dawainya putus di Jalan Ahmad Boestaman, Slim River, Perak.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superitendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata kejadian pada jam 6.30 pagi semalam itu sempat dirakam oleh seorang saksi di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian turut disedari selepas anggota Balai Polis Slim River membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di jalan berkenaan pada jam 8.30 pagi.

“Anggota berkenaan ternampak beberapa tiang elektrik telah terbalik dan pemeriksaan mendapati sebanyak 14 tiang rosak.

“Tiang berkenaan dipercayai tersangkut pada sebuah treler yang melalui Jalan Ahmad Boestaman hadapan Maybank Slim River yang mahu berpatah balik ke Jalan Persekutuan untuk menghala ke Ipoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan pemandu treler bersama dua kelindan itu tidak sedar kontena treler berkenaan telah tersangkut pada dawai elektrik hingga menyebabkan beberapa tiang tumbang dan dawai terputus.

“Usaha untuk mengesan pemandu treler tersebut sedang giat dijalankan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Susulan kejadian itu, beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Muallim sedang membantu memastikan aliran trafik di pekan berjalan lancar.

Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here