SELARI dengan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan akan terus membela dan menghargai segenap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan sesiapa, terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan nilai kebersamaan kerajaan akan memastikan golongan OKU diberikan hak sama rata dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Kekurangan itu bukan satu kelemahan, bahkan ianya satu keistimewaan yang perlu dilindungi bagi melengkapi kita semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyambut baik tema sambutan Hari OKU Sedunia pada tahun ini iaitu ‘Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19’.
Ismail Sabri turut meluangkan masa menghadiri pementasan dan pameran seni, muzik dan tari ‘Kau & Aku’ bersempena Hari OKU Sedunia anjuran Persatuan OKU Sentral yang diterajui oleh Senator Ras Adiba Radzi, malam tadi.
“Kagum melihat bakat-bakat yang dipersembahkan oleh insan istimewa dalam persembahan ‘KAU&AKU’, OKU Sentral di Performing Arts Center, Damansara sempena Hari OKU Sedunia.
“Saya bangga apabila dapat bersama-sama mereka. Sesungguhnya insan OKU amat istimewa kerana mereka sebenarnya dianugerahkan bakat yang tidak dimiliki oleh semua. Mereka jua adalah amanah buat kita.
“Bakat dipersembahkan amat menyentuh jiwa. Terima kasih atas kesungguhan dan kerajinan yang tidak berbelah bagi. Saya doakan semoga insan-insan istimewa berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya. – Malaysiapost

