Pengembara dari negara berisiko perlu pakai peranti khas – KJ

0
1

PENGEMBARA yang dikenal pasti dari negara berisiko tinggi yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipakaikan peranti pengesanan digital sepanjang tempoh pemerhatian dan kuarantin wajib.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata senarai negara berisiko tinggi itu ditentukan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, langkah tersebut antara strategi dalam memperketatkan lagi kawalan di pintu masuk negara sekali gus mengelakkan penularan varian baharu Omicron.

“Selain itu, program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Singapura diteruskan buat masa ini dengan penambahan ujian kendiri pada hari ketiga dan ketujuh.

“Untuk Gelembung Pelancongan Langkawi, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tambahan pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan dengan jenis ujian adalah RTK-Ag secara profesional,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Khairy berkata, sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang telah dikenal pasti sebelum ini adalah dikekalkan iaitu melibatkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Terdahulu, Khairy dalam sidang media yang sama mengesahkan jangkitan pertama varian baharu Omicron di Malaysia melibatkan seorang warganegara Afrika Selatan.

Kes tersebut dikesan positif Covid-19 di pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, pelajar berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuan varian berkenaan pada 24 November. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here