KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 di rumah untuk murid sekolah rendah atau membekalkan guru dan kakitangan sekolah dengan kit perlindungan diri untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata ia susulan bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap arahan kementerian agar guru menjalankan ujian berkenan kepada murid sekolah rendah, setiap Rabu bermula kelmarin.
“Guru-guru mengadu perkara ini merbahaya dan meletakkan mereka dalam risiko jangkitan memandangkan mereka tidak dibekalkan dengan kit perlindungan diri, seperti sarung tangan, pelitup muka, dan lain-lain untuk menjalankan ujian saringan ini.
“Ahli-ahli Parlimen juga perlu menjalani ujian saringan RTK ini dua kali seminggu, tetapi pegawai kesihatan yang menjaga proses ujian saringan ini dilindungi dengan kit perlindungan yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata adalah tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab meminta guru menjalankan ujian saringan tanpa menyediakan sebarang peralatan perlindungan diri.
“Perkara ini (kit perlindungan) akan menghalang jangkitan Covid-19 dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah sekiranya ada pelajar yang disahkan positif,” katanya. – Malaysiapost

