Pelancong luar negara ke Langkawi perlu jalani RTK-Ag Profesional.

0
1

PENGEMBARA dari negara selain daripada lapan negara yang disekat sementara dari memasuki Malaysia susulan varian Omicron, dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengembara berkenaan bagaimanapun perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) Profesional.

Menurutnya, ujian itu perlu dilakukan pada hari pertama, ketiga dan kelima selepas ketibaan mereka, selain perlu menjalankan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RT- PCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia.

“Bagi pengembara yang membuat ujian di Langkawi pada hari ketibaan, mereka dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Mereka akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pengembara dari negara selain daripada lapan negara yang disekat juga dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri lain selain Langkawi.

“Mereka perlu mematuhi keperluan seperti menjalani kuarantin wajib dengan tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi iaitu tujuh hari untuk individu dengan vaksin lengkap dan 10 hari jika tidak lengkap atau tidak menerima vaksin.

“Tempat kuarantin adalah mengikut kelulusan yang diberikan oleh Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah, tempat kediaman atau stesen kuarantin.

“Pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah, tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my/,” katanya.

Menurutnya, pengembara yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah, tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital.

“Negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan oleh KKM berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Keperluan menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima sekiranya kuarantin selama tujuh hari atau pada hari kelapan sekiranya kuarantin selama 10 hari.

“Penilaian risiko akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ketujuh atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memaklumkan situasi dan polisi terkini dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here