143 kes positif Covid-19 dikesan di Sekolah Seri Puteri

0
1

JUMLAH keseluruhan kes Covid-19 bagi Kluster Persiaran Tasik membabitkan warga Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya setakat ini dilaporkan sebanyak 143 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes berkenaan membabitkan 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan dengan kadar serangan 14.7 peratus.

Menurutnya, sejak kluster berkenaan dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang sudah melakukan saringan ke atas 973 orang warga sekolah berkenaan sejak 26 November lalu.

“Daripada 143 kes yang positif Covid-19, seramai 106 kes dalam kategori satu, manakala 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan 2 kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid).

“Kesemua kes positif ini berada dalam keadaan stabil. Semua murid yang positif dan seorang guru dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 700 kontak rapat dikesan iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan telah dikenal pasti.

“Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia.

“Kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain dari aktiviti saringan dan pengasingan kes positif dan kontak rapat, sekolah berkenaan juga telah diarahkan ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut telah diadakan.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memaklumkan situasi terkini kluster ini dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here