Nasib pemandu lori tertimbus runtuhan tanah belum diketahui

0
2

POLIS mengesahkan seorang lelaki terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, berhampiran Simpang Pulai, hari ini.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang juga pemandu lori membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam lori

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata satu maklumat awal diterima daripada majikan mangsa dan setakat ini tiada laporan lain diterima.

“Pihak penyelamat sedang cuba mengorek tanah di lokasi kejadian dengan menggunakan jengkaut. Bantuan jentera sama turut diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

“Kita sudah nampak bahagian kepala lori dan kita percaya bomba akan berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa terdekat.

“Keadaan mangsa belum dapat disahkan dan usaha sedang dibuat untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mior Faridalathrash yang turut berada di lokasi kejadian berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga membantu membuat rondaan udara dengan menggunakan dron.

“Kita mahu melihat keadaan pergerakan tanah daripada udara. Kalau ada pergerakan, ia berbahaya kepada pasukan penyelamat.

“Setakat ini operasi berjalan lancar untuk keluarkan mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here