Keluarga akan hubungi Menteri segera dakwaan buli di kem tentera

0
1
grafik

INDIVIDU yang mendakwa adiknya dibuli dan diperas ugut dalam sebuah kem tentera berjanji akan menghubungi Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi menyalurkan maklumat terperinci berhubung dakwaannya.

Melalui satu mesej dikongsi pengguna Twitter menggunakan akaun bernama pedoqpop, individu terbabit menyatakan dia dan keluarga kini sedang mengumpul mesej yang diterima daripada adiknya berhubung dakwaan buli berkenaan.

“Aku dengan keluarga tengah kumpul mesej-mesej adik aku dan akan hubungi menteri dengan segera. Kami tak boleh tidur, selalu tunggu ‘call’ adik aku.

“Selalunya lepas kena pukul, dia akan ‘call’ mak aku cakap nak lari. Dia dah kerja, tau bukan dalam latihan lagi, pun ada rasa nak lari,” menurut mesej dikongsikan itu.

Menurut individu terbabit, semasa dalam latihan adiknya tidak pernah mengadu seperti sekarang ini, malah memberitahu mempunyai kawan dan pegawai yang baik.

“Bayangkan bertugas sampai malam, dah sampai dorm kena pukul/ragging sampai 3-4 pagi. Lepas itu dapat tidur sejam, bangun siap-siap nak pergi bertugas.

“Sedih betul. Adik aku tu cakap kasar dengan orang pun tak pernah. Memang jenis buat hal sendiri. Sedih benda ni jadi dekat keluarga kita orang,” katanya.

Terdahulu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta pihak yang mendakwa berlaku perbuatan buli dan pemerasan membabitkan sebuah kem tentera agar tampil menyalurkan maklumat lanjut.

Beliau merujuk kepada mesej yang tular mendakwa adik seorang individu yang tinggal di kem tentera sering dipukul oleh anggota tentera senior selain turut diperas hingga wang gaji dan simpanannya habis.

Hishammuddin berkata, perkara itu sedang diteliti dan jika dakwaan itu benar tindakan tegas akan segera diambil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here