Rakyat perlu terus beristiqamah laksana kawalan kendiri titah Agong

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat sentiasa berwaspada dan tidak apla menjalankan aktiviti harian dengan norma baharu bagi memastikan penularan Covid-19, khususnya varian Omicron dapat dibendung.

Baginda menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu berkenaan yang kini mula merebak ke banyak negara seluruh dunia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikannya sebagai varian membimbangkan (VOC) dan diklasifikasikan lebih berbahaya serta cepat merebak berbanding varian terdahulu.

Kebimbangan Baginda disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan di Istana Negara, hari ini.

Menurutnya, ekoran daripada perkembangan terkini berhubung varian baharu itu, Baginda menasihati seluruh rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19 dan juga mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara Kesihatan serta keselamtan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat.

“Baginda juga menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong berpandangan bahawa segala pengorbanan dan usaha-usaha semua bersama pihak berkuasa serta petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, Baginda menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini termasuk mempertimbangkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan pemantauan Covid-19 bagi pengembara yang tiba dipintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes varian Omicron,” katanya.

Beliau berkata, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap langkah proaktif diambil KKM dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan di hospital-hospital dan klinik kerana dijangkakan bilangan kes harian Covid-19 akan meningkat sekiranya varian Omicron menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara.

“Baginda yakin dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan khususnya varian Omicron dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai.

“Rakyat diajak untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here