KOLEJ Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dinaik taraf kepada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) dan watikah perakuannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Menurut perkongsian di laman Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima watikah berkenaan yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Majlis persembahan Watikah Perakuan Naik Taraf tersebut diadakan di Istana Negara hari ini dan turut disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Tuanku Canselor UNIPSAS.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff.
Turut sama menghadap, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Rektor UNIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin. – Malaysiapost

