SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Kit Siang menyindir pencapaian 100 hari pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini adalah kenaikan harga barang yang menyebabkan rakyat sengsara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Ismail Sabri sama dengan nama singkatan BN iaitu ‘Barang Naik’.
Menurutnya, kuasa beli rakyat merosot dengan barangan keperluan harian dijual dengan harga tinggi seperti telur, ayam, sayur dan sebagainya kini menjadi barangan mewah.
“Negara sedang menghadapi krisis inflasi, tetapi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak tahu pun apa yang Majlis Pemulihan Negara (MPN) atau Perdana Menteri lakukan untuk mengatasi krisis yang sedang melanda negara ini.
“Rakyat tertekan dan rasa cemas. Kerajaan BN tidak dapat rasa kesusahan dan kebimbangan rakyat ke?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, DAP mencadangkan suntikan sebanyak RM3 bilion hasil yang dikutip daripada Cukai Makmur atau cukai ‘durian runtuh’ ke dalam Dana Penstabilan Harga Barang Nasional.
“Ia untuk melambatkan kenaikan harga barangan keperluan asas dan mengurangkan ketidaktentuan harga yang melampau,” katanya. – Malaysiapost

