Anak arwah Tok Nan mungkin bertanding PRN Sarawak

0
2

ANAK kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) mungkin akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bermula pada 6 hingga 18 Disember ini.

Bayangan pencalonan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan itu dimaklumkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Menurutnya, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu yang juga balu kepada Tok Nan iaitu Datuk Amar Jamilah Anu mungkin mengundur diri serta memberikan ruang kepada Azizul.

“Mungkin Datuk Amar Jamilah mengundur diri, beliau sudah melatih anaknya,” katanya.

“Kami di PBB sendiri mahu orang muda… adalah wajar kami memberi laluan kepada anaknya untuk meneruskan wawasannya (Tok Nan).

“Saya beri bayangan tadi dan saya akan sahkan pada 3 Disember nanti. Selalunya bayang-bayangan akan jadi benar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak Centex Lundu, hari ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu pada 2017, Datuk Amar Jamilah Anu menang dengan majoriti 6,573 undi.

Beliau menewaskan Rapelson Richard Hamid dari Tindakan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru yang meraih 130 undi dan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Johnny Aput (108). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here