KERAJAAN Pulau Pinang belum bercadang menghalang penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka seperti dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata beliau mengambil maklum isu kemalangan disebabkan pemandu mabuk.
Bagaimanapun katanya sudah ada undang-undang bagi kes tersebut iaitu mengikut Seksyen 44(1) dan 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat pengetahuan saya, kerajaan negeri tiada perancangan baharu untuk halang kedai-kedai untuk menjual arak sepertimana yang dilaksanakan DBKL.
“Berhubung isu kemalangan disebabkan pemandu mabuk, sudah terdapat undang-undang sedia ada untuk kes itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Terdahulu Mohd Yusni membangkitkan beberapa nahas melibatkan pemandu mabuk di Pulau Pinang termasuk menyebabkan kematian kepada pihak lain.
Sehubungan itu, beliau mengusulkan langkah pencegahan dan kawalan penjualan arak sama seperti dilaksanakan DBKL dan turut mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Berkuat kuasa 1 November lalu, DBKL melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina, namun penjualan bir masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sebagaimana terkandung dalam syarat baharu permohonan Lesen Minuman Keras (LMK). – Malaysiapost

