Kekurangan pelajar punca KPTM Semporna ditutup tahun depan – Mahdzir

0
2

KEKURANGAN pelajar secara berterusan dikesan menjadi punca Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna ditutup mulai tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata walaupun MARA adalah agensi kerajaan, namun KPTM Semporna terpaksa menanggung semua operasinya sendiri.

“Kita sebenarnya serba salah juga mengenai isu ini kerana ia adalah tempat pelajar-pelajar Bumiputera belajar.

“Namun kita terpaksa melihat perkara ini (penutupan) ekoran tidak mencukupi sasaran pelajar.

“Kapasiti KPTM Semporna ini mempunyai kapasiti 600 orang namun sekarang kita hanya memiliki 169 pelajar sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, di Kota Kinabalu,hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mahdzir berkata, selain kekurangan pelajar KPTM juga tidak mempunyai peruntukan dari kerajaan dan perlu membayar sendiri gaji kakitangan termasuk tenaga pengajarnya yang membabitkan kos operasi yang tinggi.

Sementara itu, ditanya mengenai status pelajar yang masih berada di KPTM Semporna, Mahdzir menjelaskan, penuntut sedia ada akan menamatkan pengajian secara berperingkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here