Culas bayar nafkah: Idris sokong penguatkuasaan Hiwalah

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyokong pelaksanaan penguatkuasaan perintah Hiwalah ke atas bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah.

Idris berkata, pelaksanaan perintah itu bagi menyekat akaun bank bekas suami atau bapa sehinggalah mereka iaitu penghutang menyelesaikan hutang nafkah tersebut.

Katanya, ia bertujuan membela kebajikan anak-anak dan golongan wanita di samping pendidikan kepada lelaki untuk bertanggungjawab dengan keluarga sebagaimana ditetapkan syarak.

“Sehubungan itu, bagi memperkasa golongan lelaki sebagai pelindung dan ketua keluarga, kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengorak langkah mengadakan pertemuan bersama para ilmuwan, aktivis masyarakat dan lain-lain undangan untuk berbincang mengenai inisiatif memperkasa Lelaki Qawwam,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, pertemuan itu diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, menerusi laporan media, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan, suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Menurutnya, tindakan itu dikenakan selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari lalu.

Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga, iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.

“Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada mahkamah sesyen turut diperluas kepada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.

“Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh mana-mana peringkat mahkamah syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here