KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 84 kes positif Covid-19 sepanjang persidangan Dewan Rakyat sejak 25 Oktober lalu hingga semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kes dikesan dan disahkan melalui ujian RT-PCR yang mula dilakukan secara berkala sejak 22 Oktober lalu.
Menurutnya, sebanyak 25 kes positif dikesan melalui saringan berkala yang dilakukan semalam.
“Sebanyak 18 kes dikenal pasti hasil saringan Pra-Persidangan Dewan Rakyat pada 22 Oktober hingga 25 Oktober lalu dan tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan.
“Kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa persidangan Dewan Rakyat sebanyak 41 kes dilaporkan antara 27 Oktober sehingga kelmarin.
“Kes-kes tersebut telah diasingkan dengan segera dan tiada kluster dilaporkan dan 25 kes dikesan melalui saringan berkala semalam.
“Kes-kes yang dikenal pasti ini mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai CT value atau nilai ambang RT-PCR antara 13.70 hingga 36.11,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, setakat ini semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR ‘Genotyping Assay’.
“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh.
“Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenalpasti punca jangkitan.
“Ini bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera selain aktiviti disinfeksi di kawasan-kawasan sekitar Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, status kesihatan semua kes positif Covid-19 dan kontak rapat serta kes baharu yang mungkin akan dilaporkan dalam tempoh inkubasi akan dipantau.
“Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Sekiranya bergejala, jangan hadir ke Parlimen, jalani ujian saringan Covid-19 dan segera dapatkan rawatan,” katanya. – Malaysiapost

