POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di luar dan di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, esok.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata menjelang perlawanan tersebut seramai 1,497 pegawai dan anggota akan ditugaskan dalam suasana norma baharu prosedur operasi standard (SOP) selepas 18 bulan ditutup tanpa sebarang aktiviti sukan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan keadaan keselamatan di dalam dan di luar perkarangan stadium berkenaan berada dalam situasi terkawal dan terhindar daripada sebarang insiden tidak diingini.
“Semua penonton yang akan hadir ke stadium diwajibkan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan untuk perlawanan final esok dan orang yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk sama sekali ke dalam stadium.
“Para penonton juga dilarang bawa masuk makanan dan minuman, barang mercun, bunga api, suah, laser, mancis atau pemetik api, topi keledar serta sebarang objek yang boleh digunakan sebagai senjata mencederakan orang serta dron khususnya yang tak dapat kebenaran,” katanya seperti dilaporkan portal Cakap Sukan, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas menjelang final Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, hari ini.
Muhammad Idzam menambah, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana perlawanan akhir kali ini diadakan pada hari bekerja.
“Saya nasihatkan orang ramai dan juga penonton kedua-dua pasukan yang akan ke stadium digalakkan supaya menggunakan pengangkutan awam Rel Aliran Ringan (LRT) ke stadium memandangkan tempat letak kereta adalah terhad.
“Malah elak amalan berlegar di sekitar stadium jika tiada urusan di dalam stadium sepanjang perlawanan.
“Pada Selasa nanti sebelum perlawanan berlangsung polis trafik akan terlibat tugas menguruskan trafik di sekitar stadium memastikan berjalan dengan lancar,” katanya. – Malaysiapost

