DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan hak rakyat Kelantan seakan-akan diperkecil dan diperlekehkan dalam isu pembayaran royalti petroleum.
Ketuanya Shahir Adnan, berkata ia susulan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang didakwa tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Katanya, pembayaran wang ehsan adalah tidak sama dengan pembayaran royalti hasil minyak yang dinyatakan di dalam akta-akta berkaitan petroleum negara.
“Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) memberikan hak penuh kepada PETRONAS untuk menguruskan dan mentadbir aktiviti-aktiviti minyak dan gas di Malaysia.
“Syarikat-syarikat yang terlibat dengan penerokaan, pembangunan dan pengeluaran perlu mendapatkan lesen dari PETRONAS sebelum memulakan aktiviti di kawasan perlombongan minyak dan gas di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, secara jelas tiada jarak pengukur diletakkan di dalam akta itu bagi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tiada hak royalti petroleum kerana jarak melebihi 3 batu nautika atau 5.56 km.
Katanya, sebagai jarak pengukur, medan minyak dan gas di utara Malaysia dari Kota Bharu adalah sekitar 150 km.
“Jarak medan minyak terdekat dari Kerteh, Terengganu adalah sekitar 170 km. Mengapa ada ketidakadilan apabila Negeri Terengganu mendapat royalti minyak, namun di Kelantan dikenali sebagai Wang Ehsan?
“Medan pengeluar minyak dan gas yang hampir dengan Kelantan adalah medan Bintang, Lawit dan Bergading. Medan Bintang merupakan pengeluar gas terbesar di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di utara Malaysia, bersempadanan dengan Thailand, kawasan pembangunan Petroleum dikenali sebagai Malaysia-Thailand Joint Development Area (MTJDA).
Katanya, MTJDA jaraknya adalah dekat dengan Kota Bharu, mengeluarkan hasil gas sekitar 1.3 Billion kaki persegi gas setiap hari, dengan pengeluaran dari medan-medan gas seperti Medan Bulan, Cakerawala dan Muda.
“Mengikut Akta MTJA 1990, syarikat minyak dan gas perlu membuat pembayaran sebanyak 10% daripada pengeluaran kasar bagi tujuan royalti. Pembayaran sememangnya dibuat setiap tahun oleh syarikat-syarikat pengeluar, namun ke mana wang itu digunakan?,” soalnya.
Justeru, Shahir berkata, IKATAN Kelantan menyokong penuh kenyataan Menteri Besar semalam, yang mahukan penjelasan lebih terperinci daripada Menteri Kewangan dan Kerajaan Persekutuan mengenai isu berkenaan.
“Rakyat Kelantan adalah rakyat Malaysia juga. Wang royalti dari laut Kelantan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kelantan memohon penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Tengku Zafrul Tengku mengenai pembayaran royalti petroleum.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya memandang serius jawapan bertulis dalam persidangan Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini. – Malaysiapost

