PKR lancar manifesto PRN Sarawak tanpa PH

0
2

PKR Sarawak mengambil langkah mengguna manifesto sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh, berkata manifesto bertemakan ‘Makmur bersama Keadilan’ itu menggariskan enam teras perubahan.

Menurutnya, teras pertama akan memberi tumpuan kepada peningkatan taraf kehidupan dan kesejahteraan penduduk Sarawak khasnya golongan miskin.

Beliau berkata, teras kedua pula tumpuan kepada penjanaan sektor ekonomi melalui skim Sarawak Berniaga, Sarawak Digital dan Mikrokredit.

“Fokus utama juga akan diberikan kepada kemajuan sektor pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zulkifli berkata, teras ketiga pula, berkenaan mereformasi infrastruktur asas melibatkan pembekalan air, elektrik dan internet ke seluruh Sarawak.

“Teras keempat adalah reformasi pendidikan bagi memberi fokus kepada semua sekolah rendah dan menengah daif di Sarawak agar dibaik pulih dengan segera.

“Teras kelima berkenaan reformasi hijau dan alam sekitar, yang meliputi dasar perhutanan lestari dan menghentikan pembinaan empangan raksasa hidro.

“Manakala, teras keenam adalah untuk transformasi perkhidmatan awam, termasuk perkhidmatan awam di luar bandar bagi memudahkan rakyat luar bandar mendapat kemudahan kesihatan, kebajikan, pendaftaran dan perbankan,” katanya.

Tindakan PKR Sarawak melancarkan manifesto secara bersendirian dilihat sangat berlawanan dengan PRN Melaka baru-baru ini, apabila semua komponen Pakatan Harapan (PH) bersatu hati menawarkan manifestonya sebagai satu gabungan.

Terdahulu DAP dilaporkan bertegas bahawa rundingan kerusi dengan PKR telah selesai pada Januari lalu, namun PKR Sarawak mendakwa perjanjian itu batal dan tidak sah berikutan tindakan pengerusi negeri ketika itu, Larry Sng keluar parti.

Pada 2 Januari lalu, PH Sarawak telah bersetuju bahawa PKR akan bertanding di 47 kerusi, DAP di 26 kerusi dan Amanah di sembilan kerusi.

Persetujuan itu ditandatangani oleh Sng; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; dan Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here