FAKTOR luar kawalan yang melibatkan perubahan iklim atau cuaca ketika ini telah memberi kesan langsung kepada bekalan dan harga khususnya barangan basah di pasaran pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Pengguna dan Industri Halal negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, keadaan itu dijangka sehingga Disember ini susulan musim tengkujuh.
Menurutnya, faktor-faktor itu mempengaruhi pembesaran ayam di ladang serta mengganggu pengeluaran sayur-sayuran terutama sekali sayur jenis buah.

“Pada masa yang sama, situasi harga makanan ternakan ayam juga penyumbang kepada pergerakan harga yang agresif bagi item ayam dan telur ayam di pasaran secara umumnya.
“Selangor turut terkesan kenaikan harga barang keperluan harian terpilih susulan daripada faktor cuaca dan isu makanan ternakan yang melibatkan ayam, telur ayam dan sayur-sayuran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sedang giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di pasar, kedai runcit dan pasar raya terpilih.
“KPDNHEP Selangor juga turut melaksanakan pemeriksaan berfokus terhadap item sayur-sayuran yang turut tidak terkecuali menampakkan pergerakan harga sejak kebelakangan ini.

“Pemantauan keberadaan dan kecukupan bekalan barang keperluan asas seperti minyak masak paket 1 kilogram (kg), gula pasir 1kg, tepung gandum 1kg, beras, roti putih termasuklah ayam dan telur ayam turut dilakukan secara berkala,” katanya
Menurutnya, KPDNHEP Selangor menyambut baik maklumat dan aduan berhubung kenaikan harga yang disalurkan kepada saluran rasmi aduan yang disediakan.
“Peranan pengguna dan KPDNHEP Selangor saling berkait antara satu sama lain dan bekerjasama mengurus sebarang
perlakuan menaikkan harga barangan secara tidak berasas,” katanya. – Malaysiapost

