Kelantan minta penjelasan isu wang ihsan – MB

0
1

KERAJAAN Kelantan meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan persekutuan berhubung kenyataan mengenai bayaran bagi pengeluaran petroleum di negeri berkenaan yang bukannya royalti tunai tetapi wang ihsan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, berkata pihaknya memandang serius jawapan bertulis dikemukakan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai perkara itu di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

Beliau berkata, jawapan berkenaan dilihat tidak selari dengan kenyataan-kenyataan kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Untuk rekod, kerajaan persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa kerajaan persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ihsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi negeri Kelantan juga telah diperakui oleh kerajaan persekutuan dalam Sidang Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berpendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah yang tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas yang selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Kerajaan negeri percaya pendirian ini adalah berlandaskan semangat federalisma dan Keluarga Malaysia demi kemaslhatan dan kedejahteraan rakyat Kelantan,” katanya.

Tengku Zafrul dalam jawapan bertulisnya kepada soalan dikemukakan Ahli Parlimen )Asir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mengenai status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.

Beliau memaklumkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana Negeri di Semenanjung termasuk Kelantan dan bayaran dibuat kepada Kelantan adalah dalam bentuk wang ihsan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here