
PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun, digesa mendakwa segera bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan suaminya Datuk Dr Tawfiq Ayman ke muka pengadilan.
Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang berpendapat tindakan terhadap pasangan terbabit tidak boleh dilengahkan.
Menurutnya, ia kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan mereka terbabit dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“SPRM badan yang terlibat dalam siasatan ini telah memberi kenyataan mengesahkan mereka terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB, jadi Peguam Negara kenapa tunggu?
“Inilah masanya Peguam Negara untuk ambil tindakan terhadap kedua-dua individu ini,” katanya dalam satu video, hari ini.
SPRM sebelum ini dalam satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang disimpan syarikat milik suami Zeti di Singapura, berjaya diambil balik.
“Kedua-dua wajah ni yang mengkhianati negara, mengkhianati kepercayaan rakyat. Inilah wajah-wajah yang perlu diambil tindakan serta merta oleh Peguam Negara.
“Awak (Peguam Negara) kena ingat, awak bukan lagi kuda tunggangan kepada atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pemimpin sebelum ini.
“Awak bukan di zaman pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melakukan pendakwaan terpilih, awak kena berani menyatakan kebenaran,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno. – Malaysiapost
