KERAJAAN Selangor mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.343 bilion bagi Belanjawan Negeri Selangor 2022.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.22 bilion atau 52 peratus diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM1.123 bilion atau 48 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan.
Katanya, bagi tahun 2022, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.05 bilion.
“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2022 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM906.33 juta bersamaan 44.21 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM549.30 juta bersamaan 26.79 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM189.81 juta bersamaan 9.26 peratus.
“Jadi, mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222,718,439,” katanya.
Beliau berkata, defisit tersebut lebih tinggi berbanding 2021 bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif bagi mengukuh pemacuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 sekali gus membina negeri tahan uji dalam pelbagai aspek.
Menurutnya, anggaran perbelanjaan Mengurus sebanyak RM1.220 bilion bagi tahun 2022 merangkumi perbelanjaan bagi Emolumen berjumlah RM446.73 juta.
“Perkhidmatan dan Bekalan berjumlah RM530.81 juta, Aset berjumlah RM11.79 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap berjumlah RM191.14 juta serta RM39.53 juta untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.
“Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan merupakan komponen terbesar mencakupi 43.51 peratus daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri.
“Jumlah ini termasuk antaranya kenaikan Elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Baru/Bagan dan Ketua Komuniti India (KKI) sebanyak RM3.9 juta, peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan Petugas Masjid RM6.5 juta serta Sewaan Bangunan Ibu Pejabat dan Sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah (MRS) berjumlah RM17.67 juta,” katanya. – Malaysiapost

