Kepimpinan Umno-PAS digesa kembali ke meja rundingan

0
1

KEPIMPINAN Umno dan PAS digesa kembali ke meja rundingan demi Islam Melayu dan akar umbi masing-masing yang bertungkus lumus sehingga memperoleh kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Kecil (PRK) semasa menjadi pembangkang.

Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, tidak ada ruginya Muafakat Nasional (MN) menjadi tunjang menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“MN adalah muafakat antara PAS yang mewakili GAGASAN (PAS, Ikatan dan Berjasa) dan Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) (Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)).

“Manakala PN hanya dianggotai oleh parti-parti politik tunggal bukan gabungan (Bersatu, PAS, GERAKAN dan STAR). Dari segi struktur organisasi sahaja, MN lebih baik dan berstruktur dari PN apalagi dari segi jumlah ahli dan kekuatan jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, berdasarkan pandangan diambil daripada orang yang tidak berparti termasuklah anggota keselamatan, mereka jelas lebih selesa dengan MN.

“Mereka jawab, setelah 22 bulan PH (Pakatan Harapan) perintah, mereka bukan nak stabilkan negara, tetapi mengambil jalan membalas dendam dan merosakkan ekonomi dan kestabilan kaum

“Ada yang bagitahu, walau BN tidak sempurna, tapi setelah apa yang terjadi selepas PH perintah, mereka lebih nampak mana kaca, mana permata dan akhirnya mereka terjemahkan undi kekalahan demi kekalahan PH semasa PRK di beberapa negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata hakikat asalnya MN seumpama nukleus yang kemudiannya mencetuskan momentum lebih besar bernama kerajaan PN.

“Dengan pengertian lain, ia bermaksud tanpa pengukuhan MN, kerajaan PN tidak dapat dipertahankan,” katanya.

MN merupakan sebuah gagasan kerjasama PAS dan Umno.

Gagasan ini telah dicetuskan hasil daripada Piagam MN yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia tersebut semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here