10 tahun hidap kanser : ‘Macam-macam saya telan untuk sihat’ – Elyana

0
1

SETELAH 10 tahun bertarung melawan penyakit kanser limfoma, penyanyi Elyana tampil memohon peminat dan orang ramai memahami situasi dirinya yang kini sedang menjalani sesi rawatan kemoterapi.

Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal, 34, meluahkan rasa sedih selepas terdapat individu yang kerap menghakimi setiap perkara yang dilakukannya.

Pelantun lagu Kalis Rindu itu berkata sepanjang 10 tahun berjuang melawan kanser, sudah banyak cara dan usaha yang dilakukan untuk memastikan kesihatannya bertambah pulih.

“Saya dah sakit lebih 10 tahun. Lebih 20 kali chemo, lebih 30 kali radioterapi. Apa yang saya tak pernah lakukan?

“Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus daun? Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun saya makan. Macam-macam rasa saya telan juga untuk sihat.

“Tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Berubat semua ceruk orang beritahu saya pergi,” katanya dalam hantaran itu.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, hanya dirinya sendiri yang faham bagaimana perasaan pejuang kanser bertahan dan melawan penyakit itu.

Katanya, adalah sangat berbeza situasi bagi mereka yang pernah menjaga dan mengenali individu menghidap kanser berbanding dengan pesakit kanser itu sendiri.

“Jika anda ingin membantu, belajar lah memahami. Bukan menghakimi dalam komen dan complain. Rosak jiwa saya. Saya dah buat sebaik mungkin yang saya mampu untuk 10 tahun ni,” coretnya.

Terkini, sel kanser Elyana sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal paha.

Dalam hantaran itu, Elyana sempat berkongsi kondisi dirinya yang lemah berikutan sedang menjalani sesi kemoterapi.

“Mulut penuh ulser, demam tak menentu, saraf seluruh badan sakit, susah berjalan, tak boleh minum air, telan air liur pun sakit.

“Muntah, ketakutan, seluruh badan rosak. Susah bercakap, tumpah darah bertahun-tahun, nak duduk berdiri sakit, nak jaga keluarga, nak cari duit, berfikir, tak boleh tidur…

“Nak selalu tersenyum depan anda, berat. Terlalu berat. Kamu tak akan dapat memahami selagi kamu tidak pernah merasai nya sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit yang dihidapinya ketika siaran langsung Gegar Vaganza pada tahun 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here