WANITA yang memandu treler dan nyaris menggilis seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Selangor tampil membuat laporan.
Pemandu berusia 35 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, petang tadi, maklum Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu treler itu membuat pusingan U di dalam kawasan stesen minyak dan melanggar penunggang motosikal yang sedang mengisi angin tayar motosikalnya.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal lelaki yang berusia 29 tahun itu tertolak ke kiri dan hampir tergilis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vijaya Rao berkata, akibat kejadian berkenaan, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di pusat perubatan swasta.
“Penunggang motosikal terbabit akan hadir membuat laporan selepas mendapat rawatan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes terbabit masih dalam siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian sebenar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya yang turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.-Malaysiapost

