Pegawai TUDM meninggal dunia di AS selamat dikebumikan

0
1

JENAZAH pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Allahyarham Kolonel Hasnol Hisham Abu Hassan yang meninggal dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu selamat dikebumikan pagi tadi.

Allahyarham dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington, oleh pihak Washington Air National Guard.

Istiadat pengebumian itu turut  disiarkan secara langsung melalui ‘live streaming’ yang dikoordinasikan oleh Washington Air National Guard jam 6.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Terdahulu TUDM dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan Allahyarham Kolonel Hasnol Hisham meninggal dunia di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington pada 10.58 malam waktu tempatan.

Menurut TUDM, beliau adalah Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) dan berada di Seattle, Washington kerana menghadiri Program ‘Airman to Airman Talks (A2ATs)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula pada 14 hingga 19 November lalu.

“Pada 16 November 2021, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat ‘acute type of aortic dissection’.

“Namun, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan. Isteri Allahyarham, Rohani Tahir turut berada di sisi suami ketika saat akhir beliau,” menurut kenyataan itu.

TUDM memaklumkan keputusan bagi menyempurnakan urusan jenazah dan pengebumian di Washington dibuat oleh isteri dan keluarga Allahyarham setelah berbincang dengan mengambil kira urusan memudahkan pengurusan jenazah Allahyarham.

“Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam melancarkan segala pengurusan jenazah Allahyarham.

“Isteri Allahyarham serta seluruh ahli keluarga turut mengucapkan terima kasih kepada yang membantu untuk pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham.

“Semoga keluarga Allahyarham diberikan ketabahan menghadapi ujian ini. Semoga Allah SWT merahmati roh dan menempatkan Allahyarham di dalam golongan yang beriman dan beramal soleh serta ahli syurga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here