
POLIS menerima 117 laporan berhubung kejadian banjir kilat Lembah Jaya Utara, Ampang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata pihaknya telah mendirikan Balai Bergerak di dalam kawasan pusat penempatan sementara bagi memudahkan mangsa terlibat membuat laporan.
“Sehingga kini sebanyak 117 laporan telah diterima. Sepanjang kejadian banjir tiada kemalangan jiwa berlaku dan setakat ini anggaran kerosakan masih belum diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas kejadian banjir itu, Mohamad Farouk berkata, polis menerima maklumat awal daripada orang awam pada jam 8.30 malam Isnin lalu, melibatkan Kampung Pinggiran dan Lembah Jaya.
Katanya, sejurus menerima laporan, pihaknya mengarahkan lima pegawai dan 40 anggota untuk mengawal keselamatan dan kawalan lalu lintas di kawasan yang terjejas.
“Kawasan yang dikenalpasti terjejas adalah Kampung Pinggiran 3 dan Kampung Lembah Jaya Utara melibatkan sebanyak 206 unit rumah dan 1,019 mangsa.
“Turut membantu mangsa banjir adalah pihak bomba, JPAM, JKM, RELA, MPAJ, Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat, Pejabat Kesihatan dan agensi serta NGO,” katanya.
Menurut Mohamad Farouk, semua mangsa yang terlibat ditempatkan di Dewan MPAJ Lembah Jaya Utara yang dijadikan Pusat Penempatan Sementara. – Malaysiapost
