Anwar minta campur tangan Speaker, bantah polis siasat ucapan Ahli Parlimen 

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta ucapan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat baru-baru ini, dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan.  

Beliau berkata, tindakan polis menyiasat Mohd Azis bukan saja menyentuh hak dan keistimewaan Ahli Parlimen malah membabitkan peranan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.  

Menurutnya, langkah polis itu sebagai menunjukkan satu perkara yang berbahaya kepada Parlimen. 

“Apa yang saya lihat, pengambilan tindakan itu seolah-olah ugutan kepada Sepanggar, yang menghalang kebebasan Ahli Parlimen sedangkan Parlimen ada cara mengambil tindakannya sendiri. 

“Kita tidak guna penguat kuasa luar Parlimen dan apa yang dikatakan Sepanggar itu tidak ada yang menyentuh isu sensitif. 

“Saya meminta Speaker campur tangan menyatakan ini ruang Parlimen dan tidak perlu pembabitan orang luar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.  

Azhar Azizan dalam maklum balasnya berkata, beliau akan memperhalusi hansard ucapan Ahli Parlimen Sepanggar dan mengambil serius isu berkenaan. 

Beliau turut memberi jaminan akan berhubung dengan polis berkenaan isu itu. 

Semalam, Mohd Azis mengesahkan beliau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan susulan tindakannya menyentuh mengenai MA63 ketika membahaskan Belanjawan 2022, baru-baru ini. 

Sementara itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan)  menyifatkan tindakan polis itu bertentangan dengan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen untuk berbahas di Dewan Rakyat. 

Katanya, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Perkara 36 (10) mengenai ucapan Ahli Parlimen yang tidak dibenarkan menyentuh perkara termaktub dalam Akta Hasutan dan berkaitan ucapan di mana perkataan yang membangkitkan derhaka dan perasaan melawan terhadap kerajaan. 

“Saya menyebut ini kerana semalam, Ahli Parlimen Sepanggar disiasat polis berkaitan ucapan dalam Parlimen, sedangkan ucapan itu tidak dibantah dan Yang Dipertua sendiri tidak membantah. Mengapa hak dan keistimewaan Ahli Parlimen berucap sekarang diremehkan dan dihina dengan satu siasatan polis? 

“Kami Ahli Parlimen pembangkang membantah tindakan polis ini yang seolah-olah menggertak dan mengambil tindakan ala-politik. 

“Ini jelas mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang, Speaker perlu membuat peraturan, polis kena rujuk Yang Dipertua sebelum membuat siasatan,” katanya.  

Terdahulu, Azhar Azizan memberi ruang untuk Mohd Azis menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku berhubung isu berkenaan. 

Mohd Azis menjelaskan, apa yang beliau bangkitkan dalam perbahasan itu ialah menyampaikan perkara dibimbangi rakyat Sabah seperti ditulis dalam media sosial mengenai desakan Sabah perlu meninggalkan Malaysia. 

“Saya hanya menyampaikan kebimbangan daripada desakan orang ramai dalam media sosial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here