SRC International: Keputusan rayuan Najib ditetapkan 8 Disember

0
2

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 8 Disember ini untuk memberi keputusan dalam rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tarikh itu dikeluarkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Keputusan itu akan diberikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada tarikh tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat sekali gus membatalkan hukuman penjara dan denda dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun apa juga keputusan Mahkamah Rayuan pada tarikh tersebut, pihak-pihak yang terlibat; Najib dan pendakwaan, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Najib memfailkan notis rayuan tersebut pada 30 Julai 2020 selepas tidak berpuas hati denga keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan rayuan tersebut telah didengar selama 15 hari bermula 5 April lalu.

Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd. Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Hukuman tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk digantung sementara menunggu rayuan Najib diputuskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here