KERAJAAN telah mula menyalurkan Bayaran Geran Khas Prihatin atau GKP 4.0 Fasa 2 sebanyak RM500 kepada lebih sejuta peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro, hari ini.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bayaran Fasa 2 itu melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM500 juta.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion. ⠀
Menurutnya, berdasarkan maklum balas GKP dapat dimanfaatkan golongan PKS mikro untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

“Selepas menghadiri majlis Perasmian Pas Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri (semalam), saya mengambil peluang bertemu dengan penerima GKP yang berniaga sekitar KL Sentral. ⠀
“Sempatlah beramah mesra dan mendengar perkongsian daripada Puan Mazlin, Puan Jamilah dan Encik Nizuaisham mengenai manfaat daripada GKP yang diterima,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. ⠀
Beliau teruja mendengar cerita Puan Mazlin mengenai cara memanfaatkan GKP 1.0 yang pertama diberikan oleh kerajaan yang menjadi titik tolak untuk mula berniaga kopi selain perniagaan baju.
“Kini beliau telah mengembangkan perniagaan dengan membuka dua lagi cawangan di stesen yang lain. ⠀
⠀
“Jangan lupa singgah Kedai Kopi Tingkat Atas , Puan Mazlin di KL Sentral kalau ada yang mengambil laluan tren ke Kelana Jaya. Jangan pergi tingkat atas pula, tu gimik nama kedai sahaja!” katanya. ⠀
⠀
Tengku Zafrul berharap para peniaga kecil akan terus memanfaatkan bantuan yang disalurkan kerajaan seperti GKP ini. ⠀⠀
“Melalui Bajet 2022, kerajaan terus kekal memberikan sokongan kepada PKS Mikro. Cubalah tengok apa manfaat yang sesuai untuk perniagaan di portal Bajet 2022,” katanya. – Malaysiapost

