Ramai pencarum terdesak perlu pengeluaran kali terakhir i-Citra

0
1

PEMUDA Umno konsisten memperjuangkan isu i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sebalik ada pihak menuduh pergerakan itu tidak memikirkan nasib pencarum di hari tua mereka.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ramai pihak menyindir seolah-olah Pemuda Umno tiada modal lain dan asyik menekan isu i-Citra KWSP.

Katanya, terdapat pihak menuduh Pemuda Umno tidak memikirkan nasib pencarum kerana sebilangan mereka masih menggunakan alasan 46 peratus tidak mempunyai simpanan melebihi RM10,000.

“Kami konsisten memperjuangkan isu ni kerana ramai dalam kalangan 54 peratus yang masih ada simpanan mencukupi benar-benar terdesak memerlukan pengeluaran kali terakhir i-Citra RM10,000.

“Ia untuk memenuhi pelbagai keperluan dan komitmen hidup, melangsaikan hutang bahkan memulakan kehidupan baharu pasca pandemik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata saban hari beliau menerima ratusan mesej harapan daripada mereka yang ‘genuine’ dan amat terdesak.

“Sejak dari awal waktu kami bersama-sama Datuk Seri Najib Razak perjuang keperluan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP dalam suasana kecemasan pandemik, pelbagai celaan, tohmahan, perlian diterima.

“Namun, apabila kerajaan akhirnya akur dengan #TuntutanRakyat apabila memperkenalkan i-Sinar dan i-Lestari kemudian i-Citra, ramai pula ‘claim credit’.

Bagi kami, yang penting akhirnya rakyat yang sedang susah dan resah ketika ini mendapat manfaat daripada perjuangan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda Umno sekali lagi menuntut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz agar mengambil berat harapan dan tuntutan rakyat untuk mengeluarkan KWSP buat kali terakhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here