SUKARELAWAN Skuad Sabil dan Pemuda Umno akan turun membantu proses pembersihan rumah-rumah mangsa banjir kilat di Ampang malam tadi.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata banjir kilat terbabit dilaporkan menjejaskan kira-kra 200 rumah di kawasan Parlimen Ampang itu.
“Doakan agar Allah mempermudahkan segala urusan mangsa banjir kilat di Parlimen Ampang yang mencecah 200 buah rumah malam tadi.

“Terima kasih dan syabas buat Pergerakan Pemuda Umno Ampang dan Skuad Sabil Ampang yang diketuai sahabat saya Ketua Pemuda Umno Ampang Zulkifli Rajalie dan Exco Dato Shahrul Nasrun bersama rakan-rakan Pemuda.
“Mereka antara yang terawal turun membantu mangsa-mangsa banjir. Insya-Allah, pagi ini Sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO akan turun membantu proses pembersihan rumah-rumah mangsa banjir yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan hujan lebat sejak 6 petang semalam menyebabkan Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di Ampang, Kuala Lumpur, dilanda banjir kilat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.19 malam. – Malaysiapost

