Kes baharu meningkat 2 minggu berturut-turut selepas rentas negeri dibenarkan

0
2
Belanjawan 2022 (Budget 2022)

SEPANJANG Minggu Epidemiologi (ME) ke-46 iaitu dari 14 hingga 20 November lalu, kes baharu Covid-19 dilaporkan meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 2,581,747 kes kumulatif telah dilaporkan dengan 69,485 kes aktif dan 29,978 kes kumulatif kematian.

Menurutnya, kebanyakan indikator utama jangkitan Covid-19 menunjukkan tren penurunan kecuali purata kes aktif yang meningkat enam peratus berbanding ME ke-45.

“Tren penurunan purata kes aktif yang dulunya konsisten selama 10 minggu kini telah menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran merentas negeri diumumkan.

“Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini dapat dilihat di mana kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit kategori tiga hingga lima mulai meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagaimanapun keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mengurangkan kematian terus dapat dilihat di mana secara keseluruhannya terdapat penurunan kes kematian serta penurunan kes kategori empat dan lima.

Menurutnya, purata kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu daripada 62,224 kes (ME ke-45) kepada 65,722 kes (ME ke-46), manakala kes kematian menurun 7.5 peratus dengan 347 kematian (ME ke-46) berbanding 375 kematian (ME ke-45).

Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh sama terdapat kumulatif 5,878 kluster telah dilaporkan dan hanya 240 kluster masih lagi aktif dengan kluster komuniti mulai meningkat sedikit pada ME ke-46 selari dengan pembukaan sempadan negeri.

“Peningkatan kluster komuniti ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu pelbagai lapisan umur hidup bersama dalam satu isi rumah yang sama.

“Manakala golongan berumur bawah 12 tahun adalah golongan yang belum menerima vaksin Covid-19 dan mempunyai kebarangkalian tinggi untuk terkesan sekiranya dijangkiti Covid-19 daripada ahli keluarga mereka.

“Bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan orang yang disayangi, disiplin yang tinggi daripada setiap individu terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur bawah 12 tahun amatlah diperlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here