BEBERAPA pihak yang sering mengaitkan isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan golongan kleptokrat kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kini dilihat ‘membisu’ apabila terdapat perkembangan terkini isu berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihak berkenaan hanya mendiamkan diri apabila terdapat persoalan membabitkan Datuk Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
“Ramai pejuang menentang kleptokrat tidak berbunyi bila ada persoalan mengenai keluarga Zeti dalam isu 1MDB.
“Menteri Undang-Undang dah jawab soalan Yang Berhormat (YB) Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) pihak kerajaan hanya mengetahui mengenai wang di Singapura hanya dalam tahun 2019,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Beliau berkata, banyak isu terkeluar memerlukan penjelasan yang lebih jelas.
“Apakah banyak maklumat sengaja disembunyikan? Apakah ada yang bimbang sekiranya naratif mereka selama ini akan bertukar plot?
“Tahniah Ahli Parlimen, Wong Chen (PKR-Subang) kerana mula bersuara,” katanya.
Ahmad Shabery, berharap ‘pejuang’ kleptokrat seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin pembangkang iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi respon isu berkenaan
“Harap Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 (Dr Mahathir), Perdana Menteri ke-8 (Muhyiddin), YB Seri Iskandar (Kit Siang), Bagan (Guan Eng) dan Port Dickson (Anwar) jangan lambat sangat.
“BERSIH boleh siap-siap ke jalan raya bila keadaan mengizinkan,” sindirnya.
Semalam Dewan Rakyat dimaklumkan dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura lalu disimpan syarikat milik suami bekas Gabenor Bank Negara hanya diketahui polis pada tahun 2019.
Perkara itu diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, perkara itu tidak diketahui pihak berkuasa sebelum itu.
Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Abdul Azeez yang membangkitkan isu melibatkan Tawfiq iaitu suami kepada Zeti. – Malaysiapost

