DUA marsyal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lampu isyarat Sua Betong di Port Dickson baru-baru ini, telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata suspek lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan antara jam 12.30 tengah malam hingga 2.45 pagi tadi di kawasan Springhill dan Lukut.
“Kedua-dua suspek masih bujang dan bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.
“Turut dirampas adalah dua motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian serta kasut yang digunakan semasa rakaman dibuat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook hari ini.
Aidi Sham berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Usaha mengesan empat lagi individu yang bertindak sebagai marshal masih lagi dijalankan,” katanya lagi. – Malaysiapost

