Khairil Nizam ajak jemaah PAS cipta ledakan baharu pengaruh politik

0
1

SENATOR Ir Khairil Nizam Khiruddin memohon bantuan, bimbingan serta cadangan daripada semua pihak khususnya kepimpinan PAS untuk penambahbaikan strategi dan operasi Penerangan PAS Pusat.

Beliau yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS berkata ia agar semua pihak dalam parti itu dapat bersama-sama mencipta ledakan baharu pengaruh PAS dalam arus perdana politik tanah air hari ini.

“Saya juga berharap agar kita dapat sama-sama mengusahakan satu anjakan paradigma serta nafas baru kepada langkah operasi jemaah kita ke arah menjadi parti politik Islam yang sentiasa releven sehingga ke akhir hayat dunia ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS itu juga mengucapkan terima kasih kepada Kepimpinan PAS khususnya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta AJK PAS Pusat atas kepercayaan melantiknya sebagai Ketua Penerangan bagi sesi 2021/2023.

“InsyaAllah, saya akan berusaha semampu mungkin bagi memastikan taklifan yang diberikan ini dapat ditunaikan dengan penuh amanah, dedikasi dan bertanggungjawab,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here