SPM 2021: KPM keluarkan jadual baharu dalam masa terdekat

0
1
Pelajar tingkatan 5 hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri sebagai permulaan sekolah hari ini. Pelajar calon peperiksaan utama 2020 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan.

Beliau berkata demikian dalam sebuah video berdurasi seminit 18 saat yang dimuat naik dalam Facebook, hari ini.

“Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya dan menganalisis satu persatu pandangan.

“Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video itu.

Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon yang memberi pandangan berkaitan jadual SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar.

Terdapat pihak meminta jadual SPM 2021 pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan pada Jumaat dan Ahad, di mana Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here