Sabotaj punca BN kalah di Sungai Udang

0
1

UMNO Bahagian Tangga Batu mendakwa wujud unsur sabotaj dalaman yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Menurut Ketuanya Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, beliau mendapat maklumat ada ahli yang membantu pihak lawan dan tidak keluar mengundi.

“Ada yang sanggup sabotaj parti dalam PRN Melaka hanya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh parti Umno,” katanya di Facebook, hari ini.

Susulan itu, beliau yang mesra disapa Cikgu Ali berkata, Jawatankuasa Umno Bahagian akan melakukan pembersihan ahli yang terbukti mensabotaj dan mengkhianati parti.

“Perjuangan Umno memerlukan ahli yang setia dan memberi komitmen kepada parti samada ketika senang atau susah,” katanya.

Pada PRN Melaka lalu, Mohammad Ali tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Aleef Yusof dalam saingan empat penjuru.

Dr Mohd Aleef mendapat undian 6,789 manakala Mohamad Ali 6,259 undi; Hasmorni Tamby (PH), 2,035 undi dan Mohd. Zahar Hashim (Bebas), 471 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here