Peribadi PM yang ‘mendamaikan’, pikat hati pengundi pilih BN

0
1

Najamuddin Mohd Noor

KEPERIBADIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sentiasa ‘mendamaikan’, menambah keyakinan pengundi untuk memberi mandat besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, aura Ismail Sabri itu sendiri telah menyebabkan orang Melaka rasa lebih selamat dan selesa untuk memberi undi kepada BN pada PRN kali ini.

“Ini memang tidak disangkal, saya sendiri turun padang di Melaka dan merasai aura kepimpinan, personaliti Perdana Menteri sampai kepada orang Melaka.

“Rata-rata yang saya temui bersyukur apa diusahakan Pak Long (Ismail Sabri) selama hampir dua tahun memerangi pandemik akhirnya berhasil, kita sudah boleh kembali menjalani rutin harian tidak lagi berkurung di rumah.

“Rakyat nampak kerja keras Pak Long dulu setiap hari di televisyen keikhlasannya memerah otak, mencari jalan, bertungkus lumus, tutup pintu depan ada pula pihak lain buka pintu belakang.

“Itu semua rakyat tahu siapa sebenarnya yang ikhlas memerangi Covid-19. Ia nilai tambah kepada BN sebenarnya,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mengulas lanjut, Armand menjelaskan, keperibadian Ismail Sabri yang ‘clean’ tiada sebarang kontroversi telah mencerminkan gaya kepimpinan pemimpin BN kepada rakyat.

“Kita tengok konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan, mendamaikan politik negara kita di peringkat Pusat ketika ini. Ketegangan PN dan BN di Pusat dapat diredakan oleh Ismail Sabri.

“Perdana Menteri juga tidak terburu-buru dalam tindakan, sentiasa bermesyuarah, meneliti pandangan pelbagai pihak, menjaga keharmonian kerajaannya selain tidak lupa menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Armand menjelaskan, kemampuan MCA dan MIC merampas semula kerusi DUN di Melaka telah membuktikan konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri diterima semua kaum.

“Pastinya rakyat tengok siapa parti Perdana Menteri itu dan buat perbandingan dengan yang sebelum ini. Pastinya beliau memang mendamaikan, menyejukkan hati orang Melaka yang tidak teragak-agak memberi kemenangan besar kepada BN.

“Yang penting kestabilan politik baru senang rakyat fokus cari makan, tidak kira apa kaum kita sebagai Keluarga Malaysia perlu kerajaan yang stabil dan dekat dengan rakyat.

“MCA menang, MIC pun menang… Jadi tidak hairanlah konsep Perdana Menteri selain gaya pemerintahannya dapat memikat hati kaum lain, mereka yakin BN adalah parti yang patut menang di Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here