BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusannya menolak ganjaran rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan.
Sambil menegaskan keputusan itu sebagai muktamad, beliau berkata, ia diambil atas sebab tidak mahu perkara tersebut dijadikan isu oleh pihak lain.
Penjelasan tersebut ditujukan kepada veteran DAP Lim Kit Siang, yang dikatakan mempersoalkan tindakan Najib meminta rumah bernilai RM100 juta kepada kerajaan.
“Eh… saya dah jawab banyak kali. Kamu tak faham ke? Saya mohon tahun 2018 bawah akta kerajaan yang dipinda bos kamu Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad).
“Saya diberi tiga bidang tanah untuk pilih. Keluarga saya pun pilih satu. Nilai tidak diberitahu kepada kami dan nilai itu adalah dari portal pro-PN (Perikatan Nasional),” katanya dalam hantaran Facebook.
Khamis lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan di Dewan Rakyat Kabinet menerima permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Najib yang dianggar bernilai RM100 juta.
Sementara itu, Najib turut menjelaskan dana RM645 juta yang diterima terus daripada Menteri Kewangan Arab Saudi kepada akaunnya telah disalurkan kepada rakyat.
“Termasuk untuk membantu banjir besar tahun 2014 di negeri-negeri timur semenanjung Malaysia dan juga memberi kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan untuk imam, tahfiz dan semua pegawai Masjid di lebih tujuh ribu masjid seluruh Malaysia untuk empat tahun berturut-turut dari tahun 2011 ke 2014.
“Jika saya tamak, saya dah ambil RM100 juta dari RM642 juta itu untuk beli rumah besar-besar seperti rumah kamu (Kit Siang) di The Mines, projek kroni kamu. Masih lagi baki RM542 juta untuk beri pada Rakyat. Tapi saya tak buat begitu pun,” katanya.
Najib juga mempersoalkan sama ada bekas Menteri Kewangan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng sudah membayar sebahagian daripada RM305 juta melibatkan projek terowong dasar laut.
“Adakah RM209 juta sudah dibayar Guan Eng sebagai sebahagian bayaran RM305 juta giler mahal untuk kos membuat laporan projek terowong itu juga sedekah kepada syarikat kroni terowong?,” katanya. – Malaysiapost

