‘Sentiasa rendah diri, jangan angkuh’ – Asyraf Wajdi

0
2

KETUA Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menasihati empat wakil rakyat baharu Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Lewat malam tadi selepas selesai pengumuman keputusan rasmi oleh SPR, sempat duduk dengan keempat-empat wakil rakyat yang baharu menang dalam PRN Melaka, juga mewakili Pemuda Umno-BN.

“Iaitu Fairul Nizam Roslan Along (Dun Asahan), Rais Yasin (Dun Paya Rumput), Dr Akmal Saleh (Dun Merlimau) dan Mohd Noor Helmy (Dun Duyong). Turut bersama beberapa Ketua-Ketua Pemuda Negeri dan Bahagian.

“Sempat menitipkan beberapa nasihat sebagai panduan, antaranya sentiasa ingat dan pelihara hubungan dengan Allah,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, jawatan ‘YB’ ini adalah ‘taklif’ atau beban amanah yang besar yang bakal dipertanggungjawabkan oleh Allah dan rakyat, bukannya ‘tasyrif’ atau satu bentuk kemasyhuran untuk dibanggakan.

“Mereka mesti sentiasa merendah diri dan jangan sekali-kali berubah menjadi angkuh dan sombong,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mereka juga perlu menjaga dan berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi tanpa berkira.

“Dan paling utama jaga amanah, akhlak dan integriti dengan menjauhkan daripada sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan.

“InsyaAllah, jika panduan ini dipegang, mereka inilah bakal mencerminkan generasi pewaris perjuangan Umno dan BN yang menjadi sandaran dan harapan rakyat masa depan,” katanya.

Semalam, PRN Melaka ke-15, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sementara Pakatan Harapan (PH) hanya menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula mendapat dua kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here