MASIH terlalu awal bagi Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun BN menang dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun gabungan itu perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam.
“Kita kena terima hakikat bahawa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi.
“Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau, hari ini.
Bekas Ketua Pemuda Umno itu mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka semalam.
“Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP).
“Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baharu, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya. -Malaysiapost

