KEKALAHAN Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sedikit pun membantutkan usaha gabungan itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ketua ARMADA Bersatu itu berkata, kekalahan itu sebaliknya membakar semangat gabungan berkenaan untuk bekerja lebih keras pada masa akan datang.
“Kekalahan ini tidak sedikit pun membantutkan usaha PN. Malah, ia menjadi pembakar semangat buat PN untuk terus berkhidmat untuk rakyat dengan usaha yang lebih keras lagi.
“Mewakili ARMADA kami ingin ucapkan tahniah kepada kedua-dua YB “Doktor” yang memenangi dua kerusi buat PN – YB Dr Aleef (Sg Udang – kerusi tradisi dan dan Dr Yadzil (Bemban – menang dalam 6 penjuru),” tulisnya di Facebook.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan di PRN Melaka.
“Kalian berjaya meyakinkan rakyat Melaka untuk memilih BN. Dan saya percaya rakyat Melaka juga telah memerah segenap kebijaksanaan mereka dan membuang undi dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Melaka kerana melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak untuk memilih pemimpin di negeri bersejarah itu.
“Biarpun peratusan keluar mengundi agak rendah; jutaan terima kasih buat rakyat Melaka kerana Semoga dengan hasil pilihanraya kali ini, sejarah baharu dapat dilakar,” katanya.
“Saya percaya rakyat Melaka juga telah memerah segenap kebijaksanaan mereka dan membuang undi dengan sebaik-baiknya,” katanya.
BN yang bertanding solo dalam PRN Melaka semalam, menang besar dengan majoriti dua pertiga, sekali gus kembali membentuk kerajaan negeri lebih kuat.
BN memenangi 20 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sementara Pakatan Harapan (PH) hanya menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula mendapat dua kerusi. – Malaysiapost

